Apakah yang perlindungan penyakit kritikal lindungi dan berapakah harganya?
Perlindungan penyakit kritikal berbeza mengikut pelan yang anda pilih. Pengendali Takaful menawarkan pelbagai perlindungan yang berbeza-beza, berdasarkan bilangan, jenis dan/atau tahap penyakit kritikal yang dilindungi sama ada awal, pertengahan atau utama. Pelan perlindungan penyakit kritikal yang paling berpatutan adalah pelan yang menyediakan perlindungan untuk sepuluh penyakit kritikal yang paling biasa, iaitu serangan jantung, kanser, kegagalan buah pinggang, strok, penyakit arteri koronari, kegagalan hati, penyakit paru-paru, pembedahan injap jantung, angioplasti dan rawatan invasif lain. Pelan ini sangat bagus sekiranya anda mempunyai bajet yang rendah, kerana ia hanya merangkumi 10 penyakit kritikal utama yang menjadikannya lebih berpatutan untuk disertai.
Manakala pelan perlindungan penyakit kritikal yang paling komprehensif pula merangkumi 56 penyakit kritikal termasuk 11 penyakit kritikal kanak-kanak yang melindungi anda dan keluarga dengan lebih luas dan menawarkan pelbagai manfaat seperti buta, koma, pekak, kehilangan pertuturan, penyakit Parkinson, Ensefalitis, Penyakit Lembu Gila, poliomielitis dan banyak lagi. Pelan perlindungan penyakit kritikal yang komprehensif juga merangkumi perlindungan penyakit kritikal kanak-kanak, yang biasanya terdiri daripada asma, diabetes jenis 1, Kawasaki, epilepsi, kolangitis dan obesiti morbid remaja. Carilah pelan Takaful yang menawarkan perlindungan penyakit kritikal komprehensif untuk orang dewasa dan kanak-kanak dalam satu pelan. Walaupun ini bererti harganya sedikit tinggi, kebanyakan pelan perlindungan penyakit kritikal ditawarkan sebagai rider, yang mana anda boleh tambahkan pada pelan Takaful asas anda di kemudian hari apabila bajet anda mengizinkan.
Sepertimana semua jenis pelan perlindungan Takaful sedia ada, kadar caruman perlindungan penyakit kritikal bergantung kepada syarat Sijil, selain daripada tahap kesihatan, sejarah keluarga dan usia anda. Anda juga seringkali akan diminta untuk melengkapkan soal selidik kesihatan mengenai sejarah kesihatan semasa dan masa lalu anda, serta sejarah keluarga atau menjalani pengunderaitan perubatan sebelum permohonan anda diluluskan. Selain daripada itu, jumlah Jumlah Perlindungan juga akan mempengaruhi kadar caruman. Secara amnya, semakin lanjut usia anda ketika memohon pelan perlindungan penyakit kritikal, semakin mahal carumannya.
Siapakah yang perlu memohon pelan perlindungan penyakit kritikal?
Ketika anda berusia 20-an dan sihat Walau bagaimana klise dan bosan sekalipun, kita semua tahu peraturannya di sini. Semakin muda dan sihat, semakin murahlah caruman pelan anda. Mengapa tidak memanfaatkan usia muda anda dengan melindungi diri daripada penyakit kritikal yang mengerikan dan menyelamatkan diri daripada krisis kewangan sekiranya anda menderita penyakit tersebut. Statistik juga telah mencatat peningkatan jumlah diagnosis kanser di kalangan orang dewasa yang lebih muda. Lebih baik sediakan payung sebelum hujan, bukan?
Jika anda mempunyai sejarah keluarga berpenyakit Sebilangan besar penyakit kritikal seperti kanser dan penyakit jantung adalah diwarisi. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada menyembuhkan. Oleh yang demikian, adalah lebih baik menyertai pelan perlindungan penyakit kritikal untuk membantu anda dari segi kewangan dan emosi sekiranya anda dihidapi dengan salah satu penyakit kritikal. Anda sangat disarankan untuk menyertai pelan perlindungan SEBELUM anda didiagnos, agar komitmen bulanan anda lebih murah, dan anda akan mempunyai lebih banyak pilihan mengenai perlindungan tersebut. Sekiranya anda sudah mempunyai pelan Takaful, anda sentiasa boleh menambah rider penyakit kritikal ke pelan asas anda untuk perlindungan yang lebih menyeluruh.
Apabila anda mempunyai anak Anda pasti sudah sedia maklum bahawa kanser menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina atau usia. Di Malaysia, penyakit kanser di kalangan kanak-kanak adalah sekitar 77.4 per juta kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun dengan kanser yang paling biasa adalah leukemia, limfoma dan barah otak /sistem saraf. Walaupun jumlah kes meningkat saban tahun, kadar penyembuhan untuk kanak-kanak jauh lebih tinggi daripada kebanyakan kanser dewasa kerana kemajuan dalam rawatannya. Walau bagaimanapun, kebanyakan kos rawatan kanser sangat tinggi dan pastinya memberi kesan kepada anda dari segi kewangan. Sebilangan besar Pengendali Takaful tidak menawarkan pelan perlindungan penyakit kritikal yang merangkumi kanak-kanak, jadi carilah pelan yang melindungi, sekurang-kurangnya 11 penyakit kritikal paling biasa di kalangan kanak-kanak. Sekiranya anda belum mempunyai pelan perlindungan Takaful untuk pasangan dan anak-anak anda, inilah masanya untuk menyertai pelan perlindungan Takaful komprehensif yang merangkumi kematian, ketidakupayaan dan penyakit kritikal bagi anda, pasangan dan anak-anak anda di bawah satu pelan.
Perkara yang anda perlu tahu sebelum menyertai pelan penyakit kritikal
Jumlah penyakit kritikal yang dilindungi Pengendali Takaful melindungi jenis penyakit kritikal yang berbeza-beza. Walaupun penyakit seperti kanser, strok dan penyakit jantung secara umumnya dilindungi, penyakit seperti Alzheimer, koma dan Parkinson antara lain jarang sekali dilindungi oleh kebanyakan Pengendali Takaful kerana ia berbeza-beza mengikut pelan perlindungan yang ditawarkan. Dengan ini, anda perlu sedar dan mengutamakan pelan mana yang paling sesuai dengan anda.
Tempoh kelangsungan hidup Pelan perlindungan penyakit kritikal didatangkan dengan tempoh kelangsungan hidup sehingga beberapa hari, yang bermaksud bahawa Orang Yang Dilindungi harus kekal hidup dalam tempoh tersebut setelah didiagnos dengan penyakit kritikal. Faktor ini juga berbeza antara satu Pengendali Takaful dengan yang lain.
Tempoh menunggu Sepertimana namanya, tempoh menunggu bermaksud Orang Yang Dilindungi hanya akan mendapat manfaat setelah jangka waktu tertentu berlalu, biasanya 30 atau 60 hari, bergantung kepada jenis penyakit kritikal. Adalah penting untuk ambil maklum akan tempoh ini untuk memahami tempoh perlindungan penyakit kritikal anda dengan lebih baik.
Penyakit sedia ada Walaupun beberapa Pengendali Takaful sama sekali tidak akan memberi anda perlindungan bagi penyakit sedia ada, terdapat segelintir Pengendali Takaful yang memberikan perlindungan kepada Orang Yang Dilindungi setelah tamat tempoh menunggu yang ditetapkan. Pelan sebigini biasanya sangat mahal, jadi fikirkanlah dengan teliti ketika memilih pelan penyakit kritikal yang tepat untuk anda.
Tujuan utama pelan perlindungan penyakit kritikal adalah untuk memberi pampasan kepada anda dan keluarga apabila didiagnos dengan penyakit kritikal, tanpa mengira kos rawatan di hospital. Pelan perlindungan penyakit kritikal tidak seperti pelan perlindungan kesihatan biasa. Ia diselaraskan untuk membantu anda membayar apa sahaja yang anda pilih, agar dapat membantu proses pemulihan dan penyesuaian hidup anda sekiranya penyakit yang mengancam nyawa menyerang anda. Tidak mudah untuk membayangkan jika didiagnosis dengan penyakit kritikal, tetapi ia adalah realiti bagi kebanyakan kita rakyat Malaysia pada suatu ketika dalam kehidupan kita. Pelan perlindungan penyakit kritikal adalah salah satu cara untuk mengurangkan tekanan dan beban kewangan yang dialami oleh anda dan orang tersayang dan memastikan anda lebih bersedia untuk memenuhi keperluan kehidupan.
Sekiranya anda masih lagi tidak menyertai pelan perlindungan penyakit kritikal dan ingin melindungi diri anda dan yang tersayang, lawati pelbagai pelan Takaful penyakit kritikal yang kami tawarkan yang sesuai dengan anda.